Label

Gangsterisme

 
Pernahkah kita bertanya pada diri, apa perlunya kita hidup? Atau soalan itu tidak pernah ingin menjengah di fikiran? Lantas, hidup terus dijalani kerana kebetulan kita telah dilahirkan. Hari ini adalah hari ini, esok masih dalam ketentuan. Yang penting, kita gembira. Itulah jawapan mudah yang dilaungkan oleh segolongan remaja apabila persoalan tersebut diajukan kepada mereka. Jawapan yang sesungguhnya amat mengecewakan. Soalnya, benarkah itu pendirian remaja kita pada hari ini?
Seawal pembukaan alaf baru (tahun 2000), seluruh negara digemparkan dengan isu gangsterisme di kalangan remaja, khususnya pelajar-pelajar sekolah. Segenap lapisan masyarakat terpisat-pisat apabila berdepan dengan fenomena tersebut. Seminar, bengkel, analisis dan kajian telah dijalankan memenuhi diari sepanjang tahun. Bijak pandai, ahli akademik dan para menteri turut campur tangan memberi pandangan. Semua pihak berusaha mencari akar umbi puncanya. Dalam kegawatan mencari penawar, banyak pihak mula melatah. Siapa yang harus dipersalahkan? Pada sekumpulan remaja tersebut? Pada ibu bapa mereka? Pada sistem pendidikan atau segala sistem yang ada? Pada masyarakat? Atau pada keadaan? Dalam mengungkap fenomena ini, maka jadilah seperti lagu "bangau oh bangau" yang menuding jari ke arah satu sama lain, tanpa ingin mengakui kesilapan sendiri.
Secara umum diketahui bahawa "gangsterisme" adalah satu gejala sosial yang serius. Ia melibatkan tindakan-tindakan di luar batasan tingkah laku individu, perlakuan yang menyebabkan kerugian harta benda dan juga mengganggu ketenteraman awam. Antara gejala gangsterisme yang melanda golongan remaja hari ini ialah kes ugutan, mencederakan kawan, mengedar dadah, memusnahkan kemudahan awam, dan yang paling mengejutkan ialah tindakan pelajar membakar fasiliti di sekolah mereka sendiri.
Berdasarkan diagnosis yang telah dilakukan, didapati bahawa, banyak pihak bertanggungjawab ke atas berlakunya fenomena ini. Institusi keluarga, sistem pendidikan, masyarakat dan individu remaja itu sendiri merupakan empat komponen penting yang wajar dipertanggungjawabkan di atas gejala yang kian merunsingkan banyak pihak.
Pendidikan tidak formal yang kurang sempurna di rumah merupakan asas kepada pembentukan dan perkembangan watak serta akhlak dalam diri remaja. Personaliti tersebut akan diperteguhkan lagi apabila mereka bercampur dengan rakan-rakan yang rata-ratanya sedang melalui zaman "nakal" semasa berada di alam persekolahan. Salah satu faktor berlakunya "pemberontakan" dalam jiwa golongan remaja ini ialah masalah kepincangan hubungan komunikasi dan keperluan yang tidak dipenuhi. Ini tidaklah bermakna ibu bapa perlu akur pada setiap permintaan anak-anak. Sebaliknya, ibu bapa perlu mengawasi gerak-geri anak-anak di samping menjadi motivator dan fasilitator kepada mereka memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar yang selengkapnya. Perhatian dan kasih sayang yang sempurna di rumah mampu mencegah para remaja daripada terlibat dengan pelbagai gejala negatif. Institusi keluarga yang diketuai oleh ibu bapa tidak sewajarnya "lepas tangan" terhadap potensi tingkah laku anak-anak semasa mereka berada di luar lingkungan keluarga.
Sistem pendidikan formal di sekolah juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menangani gejala ini. Kualiti komunikasi antara guru dengan pelajar amat penting bagi mengelakkan salah tanggapan serta silap hukuman yang boleh menimbulkan perasaan benci dan dendam. Remaja sebagai golongan yang kompleks  (melalui proses perubahan mental, fizikal dan spiritual) seringkali gagal menginterpretasikan perhatian yang ditunjukkan oleh golongan dewasa. Lantas, pihak pendidik di sekolah wajar memainkan peranan untuk menarik minat golongan ini belajar memahami perubahan-perubahan yang sedang mereka alami, selain memenuhi keperluan untuk lulus peperiksaan.
Selain institusi keluarga dan sistem pendidikan, masyarakat juga merupakan penyumbang utama pembentukan dan pembangunan sahsiah golongan remaja ini. Masyarakat hari ini sering menunjukkan model yang kurang sesuai dengan remaja. Remaja di dedahkan kepada pelbagai sumber yang tidak sewajarnya menjadi input kepada asas pembinaan peribadi. Tayangan filem misalnya, masih lagi memaparkan adegan-adegan ganas (walaupun kononnya telah ditapis). Sungguhpun pada dasarnya kita ingin anak-anak remaja ini faham mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan, namun tanpa bimbingan yang telus, pengajaran yang ingin disampaikan itu seringkali gagal diinterpretasikan dengan baik, bahkan menjadi sumber inspirasi mereka untuk bertindak menyalahi perlakuan yang sepatutnya. Di sinilah peranan masyarakat untuk saling bekerjasama memastikan tidak ada sebarang unsur yang boleh meracuni minda remaja tadi.
Remaja merupakan golongan yang sering mengalami krisis identiti. Tekanan demi tekanan yang dialami pastinya mampu disisihkan dengan adanya sokongan daripada tiga komponen kehidupan mereka tadi - institusi keluarga, sistem pendidikan dan masyarakat. Gabungan persefahaman, kasih sayang dan perhatian ini pasti mampu melahirkan remaja yang lebih beretika dan memiliki sahsiah diri yang sempurna.
Biar apa pun paparannya, remaja bukanlah golongan yang perlu "diperangi". Isu gangsterisme di kalangan remaja yang menggegarkan negara akhir-akhir ini pasti mampu ditangani dengan adanya toleransi dari semua pihak.  Usaha yang berterusan amat diperlukan. Mereka yang  terjebak perlu dibawa pulang ke pangkal jalan, manakala yang belum terbabit perlu dikawal agar tidak terjerumus sama.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar